Kisah Menarik Bagaimana Nabi Muhammad Bertemu Allah di Sidratul Muntaha Pada Jarak Hanya "Dua Busur Panah"
NABI Adam a.s gembira apabila menoleh kepalanya ke kanan kerana
menyaksikan kalangan zuriatnya, iaitu umat manusia melakukan amalan baik
dan akhirnya melayakkan mereka masuk syurga.
Namun apabila baginda menoleh ke kiri, di dapati ada juga kalangan umat
manusia yang diseksa dalam neraka akibat balasan amalan-amalan jahat
yang mereka lakukan, Ini menyebabkan Nabi Adam sedih dan kecewa.
Demikianlah di sebalik makna perlakuan yang ditunjukkan oleh lelaki
bertubuh sasa dan tinggi yang pertama ditemui oleh Nabi Muhammad sejurus
memasuki langit pertama dalam perjalanan Mikraj untuk menemui Allah di
singgahsana Sidratul Muntaha.
Baginda begitu gembira dapat bertemu dan mengenali manusia pertama
ciptaan Allah itu yang kemudiannya menjadi bapa kepada seluruh manusia
di muka bumi ini.
Selepas memberi salam kepada Nabi Adam, Nabi Muhammad kemudiannya dibawa
naik ke langit kedua dan di situ baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi
Isa. Diikuti langit ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf, langit kelima,
Nabi Harun dan Musa di langit keenam.
Nabi Muhammad akan memberi salam dan mengakui kenabian kepada setiap nabi yang baginda temui.
Apabila tiba di langit ketujuh, Nabi Muhammad berpeluang menyaksikan
Baitul Makmur, iaitu rumah ibadat, binaan sama seperti Kaabah bagi
penghuni langit terutamanya para malaikat beribadah dan melakukan tawaf.
Sesetengah mengatakan terdapat hampir 70,000 malaikat yang melakukan tawaf di Baitul Makmur itu.
Ia dikatakan mempunyai kedudukan yang bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi.
Di situ juga baginda melihat ada seorang lelaki yang wajahnya dikatakan hampir menyerupai Rasulullah sendiri.
Lalu baginda bertanya kepada Jibrail siapa lelaki berkenaan. Jibrail berkata: "Dialah nenek moyang kamu, Nabi Ibrahim."
Baginda sungguh gembira dengan pertemuan ini kerana dapat mengenali Nabi
Ibrahim yang mempunyai sejarah kenabian sangat hebat terutama mampu
mengalahkan Raja Namrud, berhijrah ke Palestin dan terpaksa meninggalkan
isterinya Siti Hajar dan si anak Nabi Ismail. Dari situ ia menjadi
titik permulaan pembukaan Kota Mekah dan mendirikan Kaabah seperti yang
diperintahkan oleh Allah.
Sejurus pertemuan yang sungguh bermakna itu, baginda berjalan sehingga ke penghujung langit ketujuh.
Berubah bentuk
Di situ baginda melihat bagaimana malaikat Jibrail yang menyerupai
manusia berubah kepada bentuk asalnya. Bentuk yang sama seperti yang
baginda pernah temui buat pertama kali semasa berjalan ke pulang ke
rumah dari Gua Hira'.
Kebenaran perkara ini tidak dapat disangkal. Ia benar-benar terjadi
sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, iaitu ayat 13 hingga 18 surah
an-Najm yang bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail
itu dalam rupanya yang asli iaitu berdekatan dengan Sidratul Muntaha,
yang juga berdekatan dengan syurga al Makwa, (Muhammad melihat Jibrail)
ketika di Sidratul Muntaha dilitupi oleh sesuatu yang melitupinya.
Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan
tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian
tanda-tanda (kekuasaan) Tuhan-Nya yang paling besar.
Selain bagi mengesahkan pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat Jibrail
pada rupanya yang asal, ayat ini juga sebagai mengesahkan mengenai
pertemuan agung antara Nabi SAW dengan Allah Rabbul Jalil secara
bersemuka.
Inilah keistimewaan Nabi Muhammad dapat bertemu dengan Allah dalam
keadaan jaga dan bersemuka walaupun pertemuan tersebut tidak turut
dihadiri oleh malaikat Jibrail.
Sebelum itu Jibrail telah meminta Nabi Muhammad mara ke hadapan iaitu
memasuki Sidratul Muntaha, tempat sangat luar biasa yang tidak akan
mampu terfikir oleh manusia biasa.
Apabila Nabi Muhammad turut mengajak malaikat Jibrail untuk bersama-sama
dengan baginda, Jibrail berkata: "Kalau aku selangkah mara ke hadapan,
maka aku akan hangus terbakar."
Lalu di hadapan Allah itu yang dikatakan jaraknya hanyalah 'dua busur
panah' atau lebih dekat lagi dari itu, Nabi Muhammad diperintahkan
sembahyang 50 waktu sehari semalam.
Iaitu ibadat menyembah-Nya untuk dilakukan oleh Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda setiap hari.
Berbanding ibadat lain yang difardukan melalui turunnya wahyu yang
disampaikan oleh malaikat Jibrail namun ibadat solat adalah perintah
secara langsung daripada Allah.
Sebab itu di hari kiamat perkara pertama yang ditanyakan oleh Allah
terhadap setiap individu umat Islam ialah mengenai perihal solatnya.
Segala amalan kebaikan dan kebajikan yang lain seolah-olah tidak
bermakna jika seseorang itu mengabai dan meninggalkan solat secara
sengaja.
Selepas pertemuan itu, Nabi Muhammad pun turun ke langit ke enam dan
bertemu semula dengan Nabi Musa yang bertanyakan mengenai hasil
pertemuan baginda dengan Allah.
"Apa yang Allah perintahkan untuk umat kamu wahai Muhammad," tanya Nabi Musa.
"Allah memerintahkan aku dan umatku supaya mendirikan solat 50 fardu waktu sehari semalam," jawab Nabi Muhammad.
Musa pun berkata lagi: "Kaum Israel pernah diperintahkan kurang daripada
itu tetapi itupun mereka tidak mampu laksanakan. Kamu naiklah lagi dan
minta Allah ringankan (kurang jumlah fardu) solat itu."
Sesetengah riwayat menceritakan baginda terpaksa berulang kali menemui
Allah semula bagi tujuan untuk meringankan jumlah fardu solat itu.
Sehinggalah akhirnya ditetapkan ibadat solat itu difardukan lima kali
sehari tanpa boleh dikurangkan lagi.
Itupun Nabi Musa tetap menggesa Nabi Muhammad dikurangkan lagi lima waktu itu.
Lalu baginda pun berkata: "Aku rasa malu dengan tuhanku, namun aku reda dan aku menyerah diri."
Sepanjang mikraj itu juga Nabi Muhammad diperlihatkan dengan pelbagai
kehidupan di alam akhirat, iaitu alam yang kekal bakal didiami oleh
seluruh umat manusia.
Turut diperlihatkan ialah pelbagai gambaran bentuk pembalasan terhadap
apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia semasa hidup mereka di
dunia.
Namun yang paling berkesan pada baginda yang diceritakan kepada para pengikutnya ialah mengenai gambaran syurga dan neraka.
Apa pun gambaran mengenai syurga dan neraka tersebut, namun yang jelas
kedua-duanya wujud di akhirat sebagaimana yang disebut berkali-kali
dalam al-Quran.
Namun itu pun masih tidak dapat dipercayai oleh sesetengah pihak.
Jadi apabila Nabi Muhammad telah melihatnya sendiri dengan mata kepala baginda, adakah kita masih tidak mempercayainya lagi?
subahanallah.
BalasHapusallah hu akbar
BalasHapusallah hu akbar
BalasHapusSubhanallah, Maha Benar Allah.
BalasHapusسبحان الله
BalasHapusSetiap umat Muhammad wajib mengalami asholatu mirajul mukminin,
BalasHapusAwal agama mengenal Allah, ini wajib menjadi "kenyataan" bukan hanya kata kata /kalimat saja.
BalasHapus