Dalam sebuah hadist dari Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila
di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil
memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan
memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam
rumah. Nabi S.A.W bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah
berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil
meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka
aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah
putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya
baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu
umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis sehingga
mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.
Baginda
terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga
engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi
kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang
hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"
Rasulullah
S.A.W berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada
keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di
mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka
sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan:
"Aduhai anak!"
Rasulullah S.A.W bertanya lagi: "Itu juga termasuk
hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah
r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia
diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum
kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para
kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta
dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi,
"Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah
dan Rasul-Nya saja yang lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah
S.A.W : "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah
ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk emmandikannya. Maka
keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan
pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama
melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan.
Di kala itu rohnya
memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara
yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak
mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta
kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab
di saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air
disiram maka akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh
Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan
janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab
lepasnya roh," Dan jika merea memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah,
wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat
sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."
Apabila telah
selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua
telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang
memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku
sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab
ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku
dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat berjumpa lagi sehingga
hari kiamat."
Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan
menyeru, "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku
menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah
menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini
aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai
dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya."
Apabila
mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi Allah,
wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar
suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini
ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."
Langganan:
Posting Komentar (RSS)
0 komentar on Kisah Berpisahnya Roh Dari Jasad :
Post a Comment and Don't Spam!