Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang
berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka,
terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis
tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah
malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari
nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi
atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah
longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan
air walaupun setitik."
Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa
kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak
diberikan kepada orang itu. Sebaik saja dia sampai ke rumah orang itu,
dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi
lalu meneruskan perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut
setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana
datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka,
nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis, "
Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu
tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada
kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan
bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi
berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah
melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah
Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan
bungkusan lain seperti kelmarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang
melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah
hidupku, wahai untung nasibku."
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu
Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis
kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya.
Orang itu terlalu riang sebaik saja mendapat bungkusan itu. Lantas terus
membukanya.
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap
ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara
bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan
demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan
Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa,
enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat
demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana
kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau
diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus
bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang
yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang
berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan
dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya
Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa.
Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."
Sebaik
saja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar
akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan
berusaha.
Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk
mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut
peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat
orang yang memberikan nasihat itu.
Dalam Islam tiada istilah
pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal
sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar
kita tersadai di tepi jalan.
Langganan:
Posting Komentar (RSS)
0 komentar on Kisah Si Pemalas Dengan Abu Hanifah :
Post a Comment and Don't Spam!