Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah
yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau
pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya,
"Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan
kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku
berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?"
Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu."
Maka
berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta
makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku,
katanya, "Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahwa aku telah
menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada
padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon
kepada Allah dengan berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku,
janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini."
Belum
pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari
langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka
mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah
itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan
minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Hai
rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib
itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit
seperti yang diturunkan kepadaku dulu."
Sambung Ibrahim lagi,
"Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib
itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga
engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku."
Jawab rahib itu, "Hai
Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah
(pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau.
Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan
sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan
kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian
yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu
(kalimah syahadah)."
"Maka sucitalah aku setelah mendengar
jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga
sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami
tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu
tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba
aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."
Setelah
selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim,
sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah
kamu akan persahabatan dan persausaraanku denganmu."
Sebaik saja
dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku
berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan
hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi
melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya
dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim
pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah
yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"
Dia menjawab,
"Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan
diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) kepada-Nya
dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan
berhampiran dengan engkau di akhirat."
Begitulah persahabatan di
antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi
hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama
lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia
ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."
Langganan:
Posting Komentar (RSS)
0 komentar on Kisah Pendeta Yang Insyaf :
Post a Comment and Don't Spam!